KENAPA BAYI TAK BOLEH MAKAN SEBELUM USIA 6 BULAN

Sudah menjadi kebiasaan, orang-orang yang lebih tua ataupun mak-mak kita menyarankan untuk memberi makanan tambahan seperti nestum kepada bayi walaupun usianya belum menjangkau usia 6 bulan. Lebih membimbangkan, kebanyakan di kalangan mereka yang ‘kekurangan ilmu’ ini mencampurkan bijirin ke dalam susu anak dengan alasan anak tidak kenyang dengan hanya meminum susu.


Tahukah anda bahawa tempoh kelahiran seorang bayi sehingga dua tahun adalah tempoh yang kritikal bagi menggalakkan pertumbuhan yang optimum, kesihatan dan perkembangan tingkah laku. Ia adalah puncak umur di mana kebantutan tumbesaran, kekurangan nutrien dan penyakit lazim seperti cirit-birit mudah berlaku.

Di Malaysia, amalan pemberian makanan kepada bayi adalah masih kurang memuaskan. Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan Ketiga menunjukkan bahawa pada 2006, walaupun amalan penyusuan susu ibu adalah tinggi, kadar penyusuan secara eksklusif di kalangan bayi berumur bawah enam bulan hanyalah 14.5% (IPH, 2008). Dari segi amalan pemberian makanan pelengkap, hanya 41.4% bayi sahaja mendapat makanan pelengkap tepat pada masanya (iaitu di antara umur enam hingga sepuluh bulan). Malah makanan pelengkap juga dimulakan seawal umur bayi dua bulan.

Untuk pertumbuhan dan tumbesaran yang optimum bagi bayi dan kanak-kanak kecil di Malaysia, semua bayi harus disusukan dengan susu ibu sahaja dari lahir sehingga berusia enam bulan. Makanan pelengkap harus diperkenalkan pada usia enam bulan sementara penyusuan susu ibu diteruskan sehingga anak berusia dua tahun. Pemberian makanan kepada bayi dan kanak-kanak kecil seharusnya tepat pada masa, mencukupi, selamat dan sesuai untuk dimakan. Ia boleh dicapai dengan mengaplikasikan sembilan garis panduan berikut.

Makanan pejal tidak boleh diberikan sebelum umur 6 bulan kerana: 
  • Bayi belum dapat mengunyah dan menggigit dengan berkesan
  • Makanan yang paling seimbang dan lengkap adalah susu badan.
  • Meningkatkan risiko alahan makanan dan jangkitan kuman.
  • Usus belum matang dan terdapat risiko kecederaan / usus tersumbat (‘intestinal obstruction‘).
  • Buah pinggang belum cukup matang untuk mengendalikan beban berlebihan dengan makanan pejal.

Namun, selepas umur 6 bulan, bayi memerlukan makanan pejal, kerana susu badan sahaja tidak mencukupi untuk keperluan badan. Bayi yang tidak diberi makanan  pejal selepas 6 bulan akan mengalami kekurangan zat makanan, terutamanya zat besi. Ini pula akan menjejaskan pertumbuhan dan perkembangan minda bayi.


Apabila bayi berumur 6 bulan, makanan pejal harus dimulakan dan ditingkatkan perlahan-lahan. Dalam beberapa minggu, makanan dengan rasa, tekstur, warna dan suhu yang berlainan boleh diperkenalkan. Apabila bayi mengambil lebih banyak makanan pejal, pengambilan susu akan berkurangan. Pada tahap ini, bayi perlu diberi sedikit ikan, ayam atau sumber protein lain, untuk menggantikan protein dalam susu. Pastikan tiada tulang dalam makanan bayi.

Pada umur 6 hingga 9 bulan, makanan yang lebih berketul (lumpy) boleh dimulakan. Apabila bayi boleh duduk, berikan makanan yang boleh dipegang sendiri, seperti biskut atau buah-buahan yang dipotong kecil seperti tembikai dan pisang. Seboleh-bolehnya, bayi perlu beransur-ansur diberi makanan yang biasa dimakan oleh keluarga, supaya bayi dapat membiasakan diri dengan tekstur dan rasa makanan keluarga.

Apabila bayi menghampiri umur satu tahun, bayi boleh makan bersama-sama dengan keluarga. Makanan seperti ayam, ikan, sayur dan nasi boleh diberikan. Makanan boleh dikisar atau dipotong kecil. Elakkan makanan kecil yang keras seperti kacang ‘pea’ yang mungkin boleh tersumbat dalam salur pernafasan bayi. Elakkan makanan yang terlalu pedas, serta garam dan gula berlebihan. Bayi boleh cuba makan sendiri dengan menggunakan sudu.

Bahaya beri bayi makanan pejal sebelum usia 6 bulan


Mungkin ada di antara anda yang telah memulakan pemakanan bayi sama ada nestum ataupun makanan pejal lain kepada bayi sebelum usia bayi menjangkau 6 bulan. Mungkin bayi anda antara bayi yang bernasib baik dan bersyukurlah tiada kesan buruk berlaku pada si kecil. Namun ketahuilah, ada di antara rakan-rakan ibu lain terpaksa mengalami episod duka dalam sejarah hidupnya apabila anak kesayangan terpaksa bertarung nyawa akibat perbuatan si ibu yang memulakan makanan pejal terutama nestum sebelum bayi berusia 6 bulan.




Adakah anda mahu jadi salah seorang daripada ibu-ibu di atas? Sayangilah si kecik. bertanyalah, galilah ilmu sebelum membuat keputusan. Ilmu mengenai penyusuan dan pemakanan bayi ada di mana.. klik saja semuanya di hujung jari anda. Garis panduan yang disarankan bukan mitos semata-mata. Ada sebab kenapa garis panduan sebegini (pemakanan harus dimulakan selepas usia 6 bulan) dibuat untuk kita semua para ibu. 

Jangan dengar kata orang-orang lebih tua atau sesiapa sahaja yang memandai-mandai meminta anda untuk diberikan anak makanan seawal 2 bulan. Jawablah secara berhemah kerana anda ibu yang berilmu. Ibu yang berilmu tak akan membahayakan nyawa anaknya.. Jaga dan coraklah sendiri anak tak kira daripada segi akhlak mahupun pemakanannya mengikut acuan kita.. 

Kalau anak anda sakit... adakah mereka yang 'memandai-mandai' itu yang akan membawa anak anda berjumpa doktor? Adakah mereka yang 'memandai-mandai' itu yang akan berjaga siang malam untuk menjaga anak anda yang sakit di wad? Adakah mereka yang 'memandai-mandai' itu yang akan membayar kos perubatan anak anda???

Jawapannya ada pada diri anda sendiri... kalau anda ibu yang prihatin... :)

sumber: MOHdoktorbudak




















No comments:

Post a Comment

Thanks for dropping here... :)

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...